Thursday, November 19, 2009

PM Lancar Program SUBUR ( 6 Nov 2009)



SABAK BERNAM: Datuk Seri Najib Razak malam tadi melancarkan program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) untuk manfaat lebih 200,000 keluarga di seluruh negara bermula 1 Disember ini bagi meringankan beban rakyat miskin dan susah.

Perdana Menteri berkata, bantuan subsidi menerusi baucar itu contoh terbaik daripada pelbagai usaha kerajaan merasai 'denyut nadi rakyat' yang diumumkan sebelum ini untuk membela rakyat yang memerlukan bantuan.

Katanya, program terbaru yang dilancarkan itu selaras konsep 1Malaysia, 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' yang perlu diterjemahkan supaya rakyat benar-benar terbela.

"Kita akan pastikan peruntukan kementerian (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) cukup untuk melaksanakan program ini.

"Kalau tak cukup, Menteri Kewangan tambah lagi, pasti cukup. Inilah usaha kita untuk bantu rakyat. Kerajaan kita mesti bergelumang dengan isu periuk nasi rakyat.

"Apabila saya kata mesti rasai denyutan nadi rakyat, inilah contoh terbaik apabila makanan untuk rakyat disumbang oleh kerajaan.

"Saya tidak mahu rakyat keluh kesah, makanan cukup tak cukup, dapur berasap tak berasap, baju sekolah cukup tak cukup, rumah sempurna atau tidak atau setiap kali hujan, rumah bocor. Ini soal periuk nasi rakyat," katanya pada pelancaran Subur di Dataran Tonggak 10, di sini.

Hadir sama pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 penduduk itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon.

No comments:

Post a Comment