Wednesday, March 04, 2009

Maklumat Serangan Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback) di Semenanjung Malaysia

Urat daun menjadi nekrotik kehitamanTompok-tompok hitam pada buah
Kesan serangan Papaya Dieback di ladang
Lesion lecuh basah pada batang
Lecuh basah pada isi buah
Lecuh basah dan nekrotik kehitaman pada hujung pelepah
Lecuh basah pada tepi dan hujung daun

Lecuh basah (water soaked) antara pucuk dan pelepah

Maklumat Serangan Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback) di Semenanjung Malaysia

1.0 Latar Belakang Serangan

Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback) mula dikesan di Batu Pahat, Johor pada tahun 2003 dan kemudian merebak ke kawasan penanaman betik di negeri-negeri seperti Perak, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang.

§ Tahun 2003 - mula dikesan di Daerah Batu Pahat, Johor

§ Tahun 2004 -

        • Daerah Muar, Johor
        • Daerah Batang Padang, Perak

§ Tahun 2005 - Daerah Jasin, Melaka

§ Tahun 2006 -

        • Daerah Kinta, Perak
        • Serdang, Selangor
        • Kalumpang, Hulu Selangor
        • Semenyih, Selangor
        • Daerah Rembau, Negeri Sembilan
        • Kulim, Kedah

§ Tahun 2007 -

· Janda Baik, Pahang

· Panching, Pahang

· Lanchang, Pahang (Ladang betik TKPM)

· Tahun 2008-

· Kg. Belukar, Perlis

· Kg Mengkuang, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang

· TKPM Ara Kuda, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang

2.0 Varieti terlibat :

Betik Eksotika, Hong Kong, Solo dan Sekaki

3.0 Patogen penyebab :

Patogen telah dikenalpasti dan disahkan sebagai bakteria Erwinia papayae (famili Enterobacteriaceae) (Rujuk: New Disease Reports – Erwinia papayae causing papaya dieback in Malaysia).

Erwinia papayae telah dilaporkan menyebabkan penyakit ’bacterial canker’ dan ’stem canker’ pada betik di Perancis, US Virgin Islands, Venezuela, Mariana Islands dan French West Indies.

Erwinia sp telah dilaporkan menyebabkan penyakit ’Papaya decline’ di rantau Carribean

4.0 Simptom serangan penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback)

Antara simptom-simptom penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback) pada setiap bahagian pokok betik adalah seperti berikut (Rujuk gambar-gambar simptom di Lampiran):

a) Daun

i) Terdapat lecuh basah yang berminyak (greasy water-soaked lesion) dan nekrotik pada tepi dan hujung daun.

ii) Bahagian tepi daun dan sepanjang urat daun menjadi nekrotik kehitaman, layu dan kering.

iii) Pangkal daun nekrotik dan genting menyebabkan daun terkulai.

b) Pucuk

i) Simptom awal pada bahagian pucuk ialah terdapat lecuh basah (lesion water-soaked) pada tisu lembut antara pucuk dan pangkal pelepah daun.

ii) Serangan teruk menyebabkan bahagian pucuk reput dan terkulai dan akhirnya pokok mati rosot (dieback).

c) Pelepah daun

i) Terdapat simptom lecuh basah (lesion water-soaked) pada pelepah yang bermula dari pangkal daun.

ii) Tanda nekrotik, lecuh basah (water-soaked) dan reput pada pangkal pelepah dan akhirnya daun terkulai.

d) Buah

i) Tompok-tompok hitam pada buah muda bermula dengan satu bintik perang kehitaman kecil yang kemudiannya membesar dan merebak.

ii) Pada peringkat serangan yang teruk, terdapat serangan kulat (patogen sekunder) pada buah yang diserang.

iii) Terdapat lecuh basah (water-soaked) pada isi buah betik yang dibelah.

e) Batang

i) Simptom awal pada bahagian batang, kelihatan lecuh basah (lesion water-soaked)

ii) Apabila serangan teruk, simptom nekrotik kelihatan pada bahagian batang dan merebak ke tisu dalam batang.

5.0 Tindakan Yang Telah Diambil Dan Langkah Kawalan Yang

Disyorkan Kepada Penanam Betik

Penggunaan racun bakteria ataupun antibiotik adalah tidak berkesan bagi mengawal penyakit mati rosot betik. Tindakan kawalan yang paling penting adalah sentiasa laksanakan AMALAN PERTANIAN BAIK (Good Agricultural Practice). Antara tindakan kawalan yang disyorkan kepada petani adalah seperti di bawah :

1. Kawasan Penanaman

Elakkan terus menanam tanaman betik di kawasan yang telah mengalami serangan penyakit mati mosot betik. Adalah disyorkan diselangkan dengan tanaman lain sebagai ’barrier crop’.

Patogen bakteria ini boleh hidup tidak lebih 2 minggu di dalam tanah tetapi boleh hidup dalam jangkamasa yang sukar ditentukan (indefinitely) pada daun dan batang pokok diserang dan daun tanaman bukan perumah yang sesuai (Rujuk: Webb RR. 1985. Epidemiology and control of bacterial canker caused by an Erwinia sp on St. Croix, US. Virgin Islands. Plant Disease v. 69(4) p. 305-309)

2. Memusnahkan sumber penyakit

Pokok-pokok betik yang diserang hendaklah ditebang dan dimusnahkan. Ini amat penting kerana patogen boleh hidup dalam jangkamasa yang lama pada bahagian diserang.

3. Penggunaan biji benih bebas penyakit dan kultivar rintang

Pastikan penggunaan biji benih betik yang diambil dari kawasan bebas penyakit mati mosot betik . Tanam betik yang rintang penyakit sekiranya terdapat kultivar betik yang rintang.

4. Kawalan perosak

Buat semburan racun untuk mengawal serangga perosak di ladang yang mungkin boleh menyebarkan penyakit seperti afid, lalat buah, lalat, kumbang dan sebagainya. Perosak seperti siput (seperti siput babi) perlu dikawal kerana ia dilaporkan boleh menggalakkan sebaran penyakit pada pokok betik.

5. Pencegahan jangkitan dan sebaran di ladang betik yang sihat

i) Kemasukan kenderaan dan pelawat ke ladang betik hendaklah dihadkan dan dikawal rapi bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan penyakit mati rosot betik dari kawasan lain melalui tanah yang melekat pada tayar kenderaan dan tapak kasut. Pergerakan kenderaan dan manusia adalah antara punca sebaran dan kemerebakan penyakit mati rosot betik dari ladang berpenyakit ke ladang yang sihat.

ii) Elakkan dari terus memasuki kawasan ladang betik selepas melawati kawasan ladang yang diserang penyakit (Seelok-eloknya kasut-kasut hendaklah dicuci dari tanah yang melekat selepas memasuki ladang betik berpenyakit).

iii) Disyorkan ada tapak pencuci yang mengandungi air dicampur bahan basmi kuman seperti klorox, dettol dan sebagainya di pintu masuk ladang betik. Ianya bertujuan untuk mencuci tayar kenderaan dan tapak kasut pelawat / pengusaha yang masuk ke ladang betik.

iv) Bersihkan segala peralatan yang digunakan di ladang betik untuk pemangkasan, memetik buah dan sebagainya seperti secateurs, parang, pisau sebagainya dengan bahan basmi kuman seperti klorox, dettol dan sebagainya. Ini dapat mengelakkan jangkitan penyakit dari pokok berpenyakit ke pokok lain yang sihat.

v) Disyor dan digalakkan merawat bakul buah sebelum dibawa masuk ke ladang dengan mencelup ke dalam larutan klorox 5 – 10 %. Ini adalah untuk memastikan tiada sumber jangkitan bakteria dari ladang lain yang berpenyakit.

vi) Petani dan pekerja digalakkan menggunakan pakaian yang dikhaskan untuk bekerja di ladang dan tidak dibawa keluar dari ladang berpenyakit.

6. Semaian anak betik betik di dalam rumah kalis serangga

Adalah disyorkan semaian anak benih betik ditanam di dalam rumah kalis serangga supaya jangkitan penyakit mati rosot betik dapat dielakkan atau dikurangkan.

7. Pengurusan rumpai yang baik

Pengurusan rumpai yang baik dapat memusnahkan perumah-perumah sekunder yang boleh menjadi perumah kepada patogen penyakit.

8. Pemantauan dan pengawasan penyakit

Pemantauan dan pengawasan penyakit Papaya Dieback yang rapi perlu dijalankan untuk memastikan serangan penyakit dapat dikesan di peringkat awal dan seterusnya tindakan kawalan segera dapat diambil.



Wednesday, February 11, 2009

Pengesanan Penyakit Karah dan Bintik Perang Pada Benih Semaian Transplanter











Pada 10/02/2009 dan 11/02/2009 pihak UPTKT Sg. Burong telah menerima penghantaran sampel benih semaian padi (transplanter) daripada pegawai kawasan Sg. Burong (En Jamal). Sampel tersebut di ambil daripada Blok V, Sg. Burong, Tapak Semaian Perniagaan Lim Sekinchan, Tapak Semaian Perniagaan Sin Hiap Huat dan Tapak Semaian Perniagaan Kian Sit Sekinchan. Selepas pemeriksaan makmal dijalankan didapati terdapat tanda-tanda serangan Bintik Perang dan Karah pada anak benih. Sebagai langkah awal, pihak UPTKT Sg. Burong telah mengeluarkan satu laporan khidmat diagnostik bagi tindakan pihak terlibat untuk tindakan selanjutnya.

Beberapa langkah syor kawalan telah dicadangkan, antaranya :-
1) Amalan Pertanian Baik (APB).
2) Penggunaan baja berunsur silika
3) Penyemburan dengan racun kulat. ai isoprothiolane, carbendazim, azoxystrobin.
4) Pembasmian kuman pada peralatan di tapak semaian menggunakan clorox dan dettol.
5) Penyimpanan bekas semaian di tempat tertutup selepas proses pembasmian kuman.

Semoga perlaksanaan syor kawalan dapat dilaksanakan oleh pihak-pihak terlibat bagi memastikan segala perancangan program peningkatan hasil padi dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semoga pemantauan di tapak semaian dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pegawai kawasan dan unit-unit teknikal padi di Kawasan IADA Barat Laut Selangor. InsyaAllah.

"Setiap kejayaan Itu Pasti Ada Cabarannya, Bersama-Samalah Kita Cuba Menggapainya"

Tuesday, February 03, 2009

Penyakit dan Perosak Tanaman Padi

a) Kesan Serangan Reput Tangkai
b) Kesan Serangan Bena Perang - 'Hopper Burn'
c) Tanda Serangan Bintik Perang
d) Kesan Serangan Bakanae
e) Tanda Serangan Reput Perang Seludang
f) Kesan Serangan Penyakit Merah Virus PMV
g) Kesan Serangan Penyakit Hawar Seludang
h) Kesan Serangan Reput Tangkai
i) Kesan Serangan Hawar Seludang
j) Dewasa Ulat Ratus
k) Dewasa Ulat Layar
l) Thrips
m) Bena Belakang Putih (WBPH)

n) Bena Perang (BPH)

o) Kesan Serangan Bintik Perang


Salam perkenalan bersama dunia tanaman padi. Hari ini kita berkenalan dengan beberapa jenis penyakit dan perosak yang biasa ditemui di kawasan tanaman padi di Malaysia. Untuk maklumat awal disertakan maklumat bergambar buat tatapan semua. Bagi maklumat lengkap akan di 'update' dari masa ke semasa, InsyaAllah.

Monday, February 02, 2009

UPTKT Sg. Burong








Unit Perlindungan Tanaman Dan Kuarantin Tumbuhan Sg. Burong, Pejabat Pertanian Sg. Burong, 45500 Tanjong Karang, Selangor

Tel :03-3241 0389/5285 Fax : 03-3241 5285

MANUAL PROSEDUR KERJA UNIT NEGERI BAHAGIAN PERLINDUNGAN TANAMAN DAN KUARANTIN TUMBUHAN

I. LATAR BELAKANG.

Unit Negeri, Bahagian Perlindungan Tanaman Dan Kuarantin Tumbuhan telah Melalui pelbagai perubahan mengikut kesesuaian yang digariskan oleh Ibu Pejabat Bahagian Perlindungan Tanaman Dan Kuarantin Tumbuhan di Wisma Tani, Kuala Lumpur. Pada asalnya Unit Negeri bertanggungjawab ke atas tiga (3) fungsi utama iaitu Fungsi Perlindungan Tanaman, Fungsi Penguatkuasaan Akta Kuarantin dan Fungsi Penguatkuasaan Akta Racun Perosak. Tetapi setelah melalui beberapa perubahan dan kesesuaian, Unit Negeri sekarang ini hanya bertanggungjawab ke atas dua (2) fungsi utama iaitu Fungsi Perlindungan Tanaman dan Fungsi Penguatkuasaan Akta Kuarantin manakala Fungsi Penguatkuasaan Racun Perosak telah diletakkan sebagai satu Bahagian tersendiri.

II. FUNGSI UNIT NEGERI

Fungsi Unit Negeri, Bahagian Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan terbahagi kepada 2 (dua) fungsi utama :

A. Memberi perkhidmatan perlindungan tanaman kepada semua pihak yang memerlukan dalam semua sektor.

B. Melaksanakan Penguatkuasaan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, Peraturan-PeraturKuarantin Tumbuhan 1981, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 1998 dan Convention on International Trade of Endangered of Flora and Fauna.

III. OBJEKTIF UNIT NEGERI

  1. Mempertingkatkan hasil tanaman petani dengan mengurangkan kerosakan tanaman yang disebabkan oleh musuh dan penyakit melalui khidmat nasihat dengan memberi penekanan terhadap konsep pengurusan-pengurusan perosak bersepadu (Intergrated Pest Management – IPM).
  1. Menyediakan khidmat ‘repository’ dalam hal perlindungan tanaman dengan mengadakan rujukan-rujukan dan perkhidmatan makmal bagi membantu individu khususnya petani untuk mengetahui sebarang maklumat mengenai makhluk perosak dan kawalannya.
  1. Menyediakan khidmat latihan dalam pelbagai bidang perlindungan tanaman terutama sekali dalam hal pengurusan perosak bersepadu pelbagai tanaman, ‘Pesticide Application Technology’ (PAT), diagnostik musuh penyakit tanaman dan hal-hal kuarantin tumbuhan.
  1. Menjaga keselamatan dan melindungi negara daripada serangan makhluk perosak asing melalui penguatkuasaan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 di pintu-pintu masuk utama negara.
  1. Memudahkan pengeksportan hasil pertanian negara dengan mempastikan bahawa konsainan yang dieksport memenuhi syarat-syarat negara pengimport.
  1. Menjaga kepentingan Pertanian Negara dengan mempastikan bahan-bahan tanaman dan janaplasma yang bernilai tidak dibawa keluar dari negara ini.