Friday, January 22, 2010

Laporan Serangan Siput Gondang Pomacea (Pomacea spp.) di Sawah Sempadan, Daerah Kuala Selangor pada Musim 01/2010







Pengenalan
Terdapat 2 jenis Siput Gondang Pomacea (Pomacea spp.) yang biasa ditemui di kawasan tanaman padi di Negeri Selangor iaitu Pomacea caniculata dan Pomacea insularus. Ancaman Siput Gondang dari jenis Poamacea insularus telah mula di kesan di sekitar Sawah Sempadan pada Musim 01/2009. Langkah awal telah dijalankan oleh pihak pegawai kawasan Sawah Sempadan dan Unit Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan Sg. Burong serta bersama petani melalui semburan bersepadu pada 25 Mei 2009 di kawasan Tali Air sekitar Blok C, Sawah Sempadan menggunakan racun Mostox (Metaldehyde – Kelas IV). Walaubagaimanapun didapati pembiakan siput masih tidak dapat dikawal kerana pembiakan siput amat cepat. Siput yang berumur dua hingga 3 bulan (75 – 90 hari) telah mula matang dan boleh mula membiak. Pembiakan siput boleh berlaku sebanyak 2 hingga 4 kali sebulan. Kemampuan Siput Gondang untuk bertelur banyak sehingga 200-500 biji sepasang dan hidup sehingga 3 kaki kedalaman dari permukaan sawah meningkatkan lagi status populasi siput di dalam sawah.Siput gondang biasanya menyerang pada peringkat anak benih padi sehingga berumur 30 hari selepas tabur. Berdasarkan pemerhatian siput gondang juga boleh menyerang anak padi transplanter yang biasanya berumur 14 hingga 20 hari.Tahap keterukan serangan sehingga mencapai 10-50% pada benih padi boleh mendatangkan kerugian kepada petani bagi menanggung kos untuk menabur dan menyulam semula anak benih padi. Didapati pada musim 01/2009 serangan siput di kawasan Sawah Sempadan adalah sekitar 1.25 hektar. Walaubagaimanapun terdapat peningkatan serangan bagi musim 02/2009 iaitu sebanyak 4.64 hektar. Ancaman serangan Siput gondang dijangka meningkat sekiranya tiada kawalan secara berterusan oleh petani sama ada secara kawalan biologi mahupun kimia.

Laporan serangan dan kawalan yang telah dijalankan oleh petani
Keluasan tanaman padi di Sawah Sempadan adalah sebanyak 2304 hektar. Pada 11 Januari 2010 pihak Unit Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan Sg. Burong telah menjalankan pemantauan di kawasan Sawah Sempadan. Didapati aktiviti perataan dan pembajakan sawah sedang dijalankan. Terdapat juga kawasan padi yang telah mula bertanam sama ada menggunakan kaedah tabur terus dan juga tranplanter. Sewaktu pembajakan dijalankan kelihatan siput-siput mula muncul di permukaan sawah padi. Keadaan hujan dan menyebabkan kehadiran air di dalam petak sawah juga menggalakkan siput gondang keluar dari tanah. Keadaan sawah yang berlopak akibat perataan sawah yang tidak sempurna juga menggalakkan pengumpulan siput di kawasan berlopak. Apabila aktiviti penaburan benih dijalankan dan penanaman transplanter dijalankan kebarangkalian anak padi dimakan adalah tinggi di kawasan yang berlopak.
Pada 21 Januari 2010, pihak Unit Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan Sungai Burong telah menjalankan bancian khas serangan siput gondang di blok-blok kritikal dan menganggarkan keluasan serangan siput gondang di kawasan Sawah Sempadan adalah sebanyak 338.4 hektar (282 lot) dimana didapati serangan adalah melibatkan keterukan 1-40% kemusnahan padi. Bilangan petani yang terlibat dianggarkan seramai 282 orang. Peringkat padi yang diserang adalah berumur 15 hingga 20 HLT (Hari Lepas Tanam). Berdasarkan perjumpaan bersama-sama petani di sekitar Blok C, Sawah sempadan pada 21 Januari 2009 didapati petani telah mula menjalankan kawalan menggunakan pelbagai racun siput gondang termasuklah penggunaan Mostox (metaldehyde), Agondan 83.1 WP (niclosamide olamine) dan racun terlarang dari China iaitu Beynute (fentin acetate). Berdasarkan pemerhatian terdapat siput gondang yang telah mati dan timbul di permukaan air. Walaubagaimanapun masih terdapat populasi siput di dalam petak sawah yang tidak mati apabila diracun dan didapati mula memakan anak pokok padi. Kesan serangan juga kelihatan pada petak sawah iaitu kelihatan pokok padi dimakan yang menyebabkan keadaan lompang pada sesetengah petak sawah. Petani juga telah mula menyulam semula anak padi dan ada sesetengah petani yang membajak semula sawah serta meracun bagi mengurangkan serangan siput gondang.

Jadual 1: Data Bancian Serangan Siput Gondang Pomacea pada 21 Januari 2009 di Kawasan Sawah Sempadan bagi Musim 01/2010

Bil. Blok Bil. Lot Dibanci
Ada Serangan

1 Blok C 93
2 Blok J 39
3 Blok B 9
4 Blok D 8
5 Blok K 2
6 Blok E 75
7 Blok Q 56
JUMLAH 282 Lot


Bil. Blok Bil. Lot Dibanci
Tiada Serangan

1 Blok C 21
2 Blok J 65
3 Blok B 95
4 Blok D 104
5 Blok K 102
6 Blok E 29
7 Blok Q 48
JUMLAH 464 Lot





Langkah Kawalan
Berdasarkan perbincangan diantara pihak Unit Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan Sungai Burong bersama Penolong Pegawai Pertanian kawasan Sawah Sempadan satu sesi Taklimat Kawalan Siput Gondang Pomacea serta aktiviti gotong-royong dijangka diadakan pada 26 Januari 2009 pada sebelah petang. Petani juga telah dimaklumkan bagi mengambil racun siput gondang jenis Mostox (metaldehyde) berjumlah 150 kotak mulai hari Jumaat (22 Januari 2009) di pejabat pertanian kawasan Sawah Sempadan bagi tujuan kawalan segera. Walaubagaimanapun bekalan racun tidak dapat diberikan kesemua kawasan kerana bekalan racun tidak mencukupi. Adalah diharapkan bantuan kewangan bagi pembelian bekalan racun dari pihak-pihak bertanggungjawab dapat disegerakan bagi tujuan kawalan bersepadu di keseluruhan kawasan.

Punca Kebarangkalian Berlaku Serangan Siput Gondang
Setelah mendapat maklum balas daripada petani, didapati peningkatan serangan siput gondang adalah disebabkan oleh :-
i) Populasi siput gondang yang semakin tinggi kerana kawalan di keseluruhan kawasan tidak dijalankan. Hanya sesetengah blok sahaja yang bergiat aktif menjalankan kawalan.

ii) Peningkatan populasi siput gondang di kawasan tali air juga secara tidak langsung menyebabkan serangan di dalam sawah padi turut meningkat kerana tali air menjadi tempat pembiakan siput.

iii) Penggunaan racun dalam kadar yang tidak mencukupi juga menyebabkan tidak kesemua siput dapat dihapuskan. Keadaan cuaca hujan selepas aktiviti meracun dijalankan juga menyebabkan kekurangan keberkesanan racun.

Langkah-langkah Kawalan Siput Gondang Pomacea
Diantara aktiviti –aktiviti kawalan secara bersepadu yang boleh dijalankan bagi kawalan serangan Siput Gondang Pomacea iaitu;-

i) Menjalankan pemantauan telur-telur serta siput di dalam sawah petani dengan memasang perangkap tiang-tiang pancang untuk siput bertelur di dalam sawah serta memusnahkannya.

ii) Menjalankan program gotong-royong mengutip dan memusnahkan telur-telur serta siput-siput yang ditemui.

iii) Membekalkan racun moluska seperti racun Mostok dan Baylucide kepada individu petani yang terlibat.

iv) Pemasangan perangkap jaring (5 mm mesh) pada saluran air masuk dan keluar.

v) Menjalankan pembajakan halus 2 kali sedalam 4 inci atau lebih bagi membunuh siput gondang. Pembajakan mestilah rata dan keadaan berlopak di dalam sawah haruslah dielakkan.

vi) Membuat parit ladang di sekeliling petak sawah bagi menghad pergerakan siput di dalam parit ladang.


Beberapa pendekatan tambahan kawalan bersepadu juga disyorkan kepada petani bagi kawalan serangan Siput Gondang iaitu;-

i. Membela Itik Jawa (20-30 ekor sehektar) di dalam sawah. Itik dilepaskan selepas musim penuaian dan peringkat padi 45 hari selepas menanam atau mengubah bagi memakan anak-anak siput.

ii. Meletakkan umpan seperti kulit nangka, daun ubi kayu, buah sukun atau kangkung untuk siput makan bagi memudahkan pengutipan siput.

iii. Pastikan jentera sawah dicuci bersih apabila keluar daripada sawah yang ada Siput Gondang.


1 comment:

  1. Casino.lv Review, Coupons & Offers - Mapyro
    Best Casino.lv Casinos · Wynn Las Vegas Resort & Casino · 전라북도 출장안마 Bellagio 동두천 출장샵 Las Vegas Casino and Spa · Encore at Wynn 광주광역 출장마사지 Las Vegas · Encore at 창원 출장마사지 Wynn 파주 출장마사지 Las Vegas

    ReplyDelete